Friday, January 2, 2009

Jangan main lagi isu royalti - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said meminta pihak pembangkang supaya tidak lagi membangkitkan isu royalti minyak kerana ia telah selesai dengan persetujuan kerajaan pusat menyerahkan sepenuhnya pengurusan wang tersebut kepada kerajaan negeri.
Ahmad berkata isu kerajaan pusat tidak menyerahkan wang royalti sudah tidak timbul kerana kerajaan persekutuan telahpun menyerahkan cek bayaran royalti minyak berjumlah RM408.6 juta untuk kerajaan Terengganu pada 12 Dis lepas.
"Saya sedih kerana pembangkang masih mengungkit perkara yang tidak betul dan tidak berasas.
Dia masih nak mainkan isu royalti sedangkan kerajaan pusat telahpun menyerahkannya kepada kerajaan negeri, dengan pembayaran pertama terus dari Petronas akan diterima Mac ini," katanya.
Berucap pada majlis perasmian pusat media untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, beliau berkata dakwaan pembangkang yang menyatakan bahawa pemberian wang royalti itu tidak memberi manfaat kepada rakyat juga tidak berasas.
Katanya sejak mengambil alih pemerintahan negeri ini selepas memenangi pilihan raya umum 2004, banyak pembangunan yang telah kerajaan negeri lakukan termasuk pembangunan fizikal dan modal insan yang turut menggunakan wang royalti yang disalurkan oleh kerajaan melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan.
"Sebahagian besar wang royalti atau dana khas yang kita terima, kita salurkan kepada bidang pendidikan termasuk menyediakan biasiswa, memberi tuisyen percuma kepada murid-murid.
"Hasilnya Terengganu berjaya muncul sebagai juara dengan memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah cemerlang selama lapan tahun berturut-turut. Ini semua menggunakan wang royalti," katanya.
Katanya jumlah pelajar yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga meningkat daripada 1,320 pelajar tahun lepas kepada 1,706 tahun ini.
Malah, untuk membantu rakyat miskin pula pelbagai program telah diaturkan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka termasuk mewujudkan program ladang rakyat bagi projek penanaman kelapa sawit.
Ahmad turut menyelar sikap pembangkang yang masih membangkitkan isu pengundi hantu dalam pilihan raya kecil kali ini sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus tanpa memihak kepada mana-mana parti."Saya sendiri tidak faham macam mana hantu boleh mengundi.
Apabila mereka menang di lima buah negeri dalam pilihan raya umum lepas, tidak pula mereka timbulkan soal pengundi hantu," katanya.
Katanya SPR juga telah menyediakan senarai nama daftar pengundi sejak dari awal bagi membolehkan parti-parti yang bertanding membuat semakan dan bantahan sekiranya mengesyaki pengundi tersebut tidak wujud.
Sehubungan itu, beliau meminta media supaya tidak melayan parti pembangkang dengan menyiarkan isu-isu berkaitan pengundi hantu
KERATAN DARI BERNAMA 2 Januari 2009

No comments:

Post a Comment