Friday, January 2, 2009

Kenyataan Pas berhubung royalti tidak berasas: Ahmad


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam menyangkal dakwaan Pas yang mengatakan bahawa royalti minyak Petronas dan Dana Khas Kerajaan Persekutuan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, beliau kecewa apabila pihak pembangkang negeri ini masih lagi membuat kenyataan tidak betul dan tidak berasas, lebih-lebih bagi dalam usaha meraih undi ketika bahang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sudah bermula.

“Pas sebenarnya menipu rakyat dengan memberi gambaran tidak betul berhubung isu royalti. Kita telah beritahu kepada rakyat bahawa Kerajaan Pusat secara rasmi telah pun menyerahkan royalti kepada Terengganu. Itu jelas.

“Keputusan telah dibuat oleh kabinet dan bayaran pertama akan diterima terus daripada Petronas mulai Mac tahun ini.

Sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini bahawa Petronas akan membayar dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan September.

“Jadi tidak timbul bahawa royalti tidak dikembalikan kepada Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Bangunan Epic, Persimpangan Jalan Pejabat, di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Operasi Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menyatakan bahawa Pas menganggap bahawa isu melibatkan kepentingan rakyat terutamanya wang royalti yang dibangkitkan sebelum ini mempunyai nilai tersendiri dalam kempen meraih undi dalam pilihan raya tersebut.

Wan Abdul Muttalib dipetik sebagai berkata, walaupun Pusat telah memberikan wang tambahan royalti sebanyak RM400 juta, namun pihaknya menganggap ia belum selesai dan menyifatkannya sebagi ‘rompakan’ Kerajaan Pusat ke atas kerajaan negeri.

Menurut Ahmad, banyak kemajuan dan pembangunan sama ada kemudahan infrastruktur, fizikal dan juga sosial telah dicapai dan diterima oleh rakyat pelbagai lapisan di negeri ini.

Katanya, banyak perkara yang kerajaan negeri lakukan hasil daripada wang royalti minyak yang diperoleh dan dilaksanakan untuk kebajikan rakyat keseluruhannya.

“Saya kecewa dengan kenyataan tidak berasas dan fakta yang sebenarnya demi kepentingan politik. Ini tidak betul dan menipu rakyat. Rakyat perlu diberi maklumat dan penerangan yang tepat,” katanya.
KERATAN DARI SINAR HARIAN EDISI KUALA TERENGGANU 2 Januari 2009

No comments:

Post a Comment