Friday, January 2, 2009

Rakyat dapat faedah royalti minyak



Petronas buat pembayaran terus kepada akaun Kerajaan Terengganu mulai Mac KUALA TERENGGANU: Pembangkang yang semakin ketandusan modal akan berdepan jalan buntu jika menggunakan royalti minyak sebagai isu berkempen untuk memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kerana pengurusan wang berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sudah memperjuangkan perkara itu dan ia dianggap selesai apabila Petronas akan membuat pembayaran secara terus kepada akaun kerajaan negeri mulai Mac ini.


"Kali ini (menjelang pilihan raya kecil) mereka ungkit dan bangkitkan pula soal kemiskinan yang berlaku di Terengganu dan pelbagai isu lain dan mengatakan duit royalti yang diperoleh tidak digunakan dengan sebaiknya untuk kesejahteraan rakyat.


"Ingin saya jelaskan bahawa walaupun sebelum ini royalti dikenali sebagai Dana Khas Persekutuan tetapi ia sudah digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk membantu pelajar bagi memartabatkan sistem pendidikan serta memberi bantuan pakaian sekolah yang berjumlah antara RM6 juta hingga RM8 juta setiap tahun.


"Kerajaan negeri juga melaksanakan Program Tuisyen Emas, program Tadika Q-Dees (pengayaan bahasa Inggeris di tadika) dan pelbagai program lain bagi meningkatkan kecemerlangan sektor pendidikan negeri hingga mampu mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama lapan tahun berturut-turut," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media Pilihan Raya Kecil P36 Parlimen Kuala Terengganu di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Abdullah Morad dan Pengarah Penerangan negeri, Halimaton Hamza.


Beliau mengulas isu royalti minyak yang akan digunakan Pakatan Rakyat (PR) sebagai modal kempen kerana mendakwa dana itu tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat Terengganu.


Ahmad berkata, kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya dana daripada royalti minyak untuk menyediakan kemudahan prasarana dan membayar gaji kakitangan awam kerana sumber kewangan kerajaan adalah terhad sekitar RM300 juta, sedangkan jumlah yang perlu ditampung lebih tinggi.


"Semuanya datang daripada hasil royalti minyak dan kalau tiada wang royalti gaji kakitangan awam negeri pun mungkin tak boleh dibayar kerana ia turut digunakan sebagai tambahan untuk bayaran pengurusan negeri seperti yang ditetapkan dalam bajet negeri yang dibentangkan," katanya.


Sementara itu, mengulas isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya, Ahmad berkata, perkara itu patut dihentikan kerana ia tidak pernah berlaku seperti yang didakwa pembangkang.
Terdahulu ketika merasmikan Pusat Media Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad berkata, pusat media itu diwujudkan bagi memberikan kemudahan kepada seluruh warga media mendapat maklumat terkini sepanjang kempen sehinggalah hari pengundian pada 17 Januari.


Pusat media berkenaan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 2 pagi setiap hari dan mula dibuka semalam hingga 18 Januari ini. Pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk internet, faksimili, telefon dan mesin fotostat dan disediakan secara percuma.

KERATAN DARI BERITA HARIAN 2 Januari 2009



No comments:

Post a Comment